TIDAK lahir seorang guru tanpa gurunya. Walaupun setiap individu yang berjaya mempunyai sejarah kecemerlangan berbeza, mereka pasti bersatu pendapat tanpa guru, mereka tidak akan berilmu. Ada langsung tidak mengenal huruf, sehingga mereka mengenal guru. Sambutan Hari Guru saban tahun tidak mencukupi bagi menzahirkan penghargaan terhadap jasa guru. Lebih daripada itu, guru hanya mengharapkan muridnya menjadi insan berguna untuk berbakti kepada ibu bapa, bangsa, negara dan agama.Kerjaya guru mulia dan dihormati. Bukan saja sedia berkhidmat, guru sanggup mengorbankan keluarga sendiri demi pendidikan setiap murid. Ada kala guru mencurahkan kasih lebih daripada seorang ibu atau bapa, semata-mata untuk memastikan semua anak yang didiknya berjaya.Rasulullah bersabda bermaksud: “Sesungguhnya perumpamaan orang berilmu pengetahuan di muka bumi ini seperti bintang di langit yang menjadi petunjuk dan menerangi di dalam kegelapan sama ada di daratan mahupun di lautan, apabila ia terbenam atau hilang, dikhuatiri akan hilang arah tujuan.” (Hadis riwayat Anas bin Malik)
Kerana perumpamaan itu, setiap guru nekad menjadi pembimbing bukan saja menyampaikan ilmu malah memindahkan apa saja mereka tahu kepada setiap murid supaya generasi berilmu tidak akan berkurang, malah lebih baik daripada mereka. Rasulullah adalah contoh guru terbaik kerana selain menyampaikan ilmu, Baginda mendidik, membimbing dan berjaya memindahkan segala pengetahuan daripada Allah tanpa kurang sedikit pun, sehingga ilmu sama masih dipelajari kini dan diamalkan umat Islam yang patuh. Aspirasi negara dalam bidang pendidikan untuk membina masyarakat sejahtera, harmoni serta mendapat keberkatan dan keredaan Allah. Maka bagi mencapai hasrat itu, tuntutan kepada ilmu bersepadu antara fardu ain dan fardu kifayah adalah utama supaya dapat memenuhi tuntutan kesejahteraan di dunia dan akhirat.
Firman Allah bermaksud: “Allah menerangkan (kepada sekalian makhluk-Nya dengan dalil dan bukti) bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Dia, yang sentiasa mentadbir seluruh alam dengan keadilan, dan malaikat serta orang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian) tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Dia Yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.” (Surah Ali-Imran: 18)
Itulah kaedah pengajaran setiap guru, bukan saja mengajar kira-kira tetapi memastikan murid tahu menghitung pahala dan dosa, begitu juga apabila memberi kefahaman mengenai sejarah. Bukan saja membelek warisan nenek moyang, tetapi mengetahui asal usul manusia dan hubungan dengan Tuhannya. Guru juga mengajar peta serta sempadan dunia supaya muridnya tahu akhirat dan kehidupan di sana. Cuma kadangkala guru teruji dengan perilaku murid yang tidak sepatutnya, tetapi tidak langsung mematahkan semangat menabur bakti, bahkan menganggap ia berlaku satu dalam seribu. Itulah sebab menjadikan guru bersemangat membentuk akhlak pelajar masa kini.
Gejala sosial yang semakin parah, malah sikap ibu bapa menyerahkan tanggungjawab kepada guru semata-mata adalah cabaran semasa yang harus dihadapi. Masyarakat harus berganding bahu dengan guru untuk menjadikan sekolah pusat melahirkan modal insan cemerlang akademik dan sahsiah. Biarpun ramai anak bertuah yang dibimbing ibu bapa dengan sempurna, masih ada diabaikan rohani mereka. Justeru gurulah yang bertanggungjawab dalam segenap segi memastikan generasi berilmu hari ini bukan saja pintar tetapi juga berperibadi mulia.
No comments:
Post a Comment