al-Fuzail atau namanya yang sebenarnya Abu Ali al-Fuzail bin Iyaz at-Talaqani telah bertaubat daripada seorang ketua perompak yang ditakuti sehinggalah beliau menjadi seorang ahli sufi yang terkenal dengan ketegasannya.
Dipaparkan kisah beliau ketika berhadapan dengan Amirul Mu’minin Harun ar-Rasyid, pemerintah Iraq yang terkenal pada waktu itu sebagai khalifah yang mempunyai perhatian yang sangat tinggi terhadap pengembangan ilmu pengetahuan dan peradaban Islam.
Pada suatu malam, Khalifah Harun ar-Rasyid telah memanggil wazir kesayangannya Fazl Barmesid, salah seorang menteri merangkap menteri peribadinya.
Harun ar-Rasyid berkata kepada Fazl: “Wahai Fazl, malam ini bawa aku kepada seorang yang alim lagi tawadhu‘ yang boleh menunjukkan kepadaku tentang mengenali diri. Aku telah jemu dengan segala pujian, kebesaran dan kemewahan yang menjadi kebanggaanku selama ini.”
“Wahai Amirul Mu’minin, di Iraq ini terdapat sungguh banyak ahli sufi yang terkenal dengan kewarakan dan keilmuannya, yang mana satukah yang tuanku mahu?” Tanya wazir Fazl Barmesid.
“Aku mahukan orang yang dapat menceritakan siapakah sebenarnya diri aku ini. Aku tak mahu tahu siapa dia”, bentak Harun ar-Rasyid.
Mendengar Khalifah Harun ar-Rasyid semakin meninggikan suaranya, wazir Fazl terus mengajak Amirul Mu’minin itu pergi ke rumah seorang alim iaitu Syeikh Sufyan al-Uyaina. Walaupun sudah larut malam Harun ar-Rasyid menggagahi juga mendapatkan Syeikh Sufyan dengan harapan orang alim ini dapat menghuraikan secara terperinci tentang bagaimana mengenali diri. Mereka berdua memberi salam sambil mengetuk pintu dan dari dalam kedengaran suara Sufyan menyahut:
“Wa’alaikumussalam, siapakah itu?”
“Aku wazir Fazl Barmesid, bersama aku ialah Amirul Mu’minin”, jawab Fazl.
“Amirul Mu’minin? Mengapakah baginda mahu menyusahkan dirinya! Mengapa tidak diberitahu sahaja kepadaku sehingga aku datang sendiri menemuinya?” Jawab Syeikh Sufyan sambil membuka pintu.
Mendengar ucapan tersebut Harun ar-Rasyid berkata: “Wahai orang alim, engkau bukanlah orang yang kucari selama ini. Engkau pun mengagungkan aku, sama seperti orang lain juga.”
Maka Syeikh Sufyan pun berkata secara jujur: “Wahai Amirul Mu’minin, jika demikian itu kehendakmu, maka Syeikh al-Fuzail adalah orang yang engkau cari, pergilah kepadanya.”
Kemudian Syeikh Sufyan membacakan firman Allah Subhanahu Wata’ala:
Tafsirnya: Patutkah orang-orang yang melakukan kejahatan menyangka bahawa Kami akan menjadikan mereka seperti orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dengan menyamakan keadaan (mereka semua) semasa mereka hidup dan semasa mereka mati? Buruk sungguh apa yang mereka hukumkan itu.
(Surah al-Jathiah:21)
Harun ar-Rasyid mengatakan: “Seandainya aku inginkan pengajaran yang baik nescaya dengan ayat ini saja sudah cukup memadai.”
Kemudian pada malam itu juga mereka bergegas ke rumah Syeikh al-Fuzail. Setelah mereka memberi salam dan mengetuk pintu rumah al-Fuzail maka kedengaranlah suara dari dalam bertanya: “Siapakah itu?”
“Aku wazir Fazl Barmesid, datang bersama Amirul Mu’minin,” jawab Fazl.
“Wahai wazir, terus terang aku katakan, di malam buta begini apakah urusannya dengan aku dan apakah urusanku dengan dia?” tanya Fuzail.
“Bukankah suatu kewajiban untuk mematuhi orang yang memegang kuasa?” Tanya wazir lagi.
“Kuasa? Sudah, jangan kamu semua menggangguku,” pinta Fuzail yang pintunya masih belum dibuka.
“Perlukah aku menolak pintu ini dengan kekuasaanku sendiri atau dengan perintah Amirul Mu’minin?” Tanya Fazl.
“Wahai Fazl, janganlah engkau bercakap angkuh, tidak ada sesuatu pun kekuasaan yang boleh memberi kemudharatan kecuali kekuasaan Allah Ta’ala”, jawab Fuzail.
“Jika engkau secara paksa menceroboh masuk ke rumahku, engkau tahu apa yang engkau lakukan, Allah Maha Mengetahui”, al-Fuzail memberi peringatan.
Apabila pintu dibuka secara paksa, Harun ar-Rasyid pun melangkah masuk dan mengham-pirinya. Al-Fuzail serta merta meniup lampu pelitanya sehingga padam agar ia tidak dapat melihat wajah khalifah. Dia berbuat demikian kerana tidak mahu ketegasan yang ada pada dirinya akan menjadi luntur dan terpengaruh lantaran kemasyuran Amirul Mu’minin pada masa itu. Dalam keadaan gelap Harun ar-Rasyid meraba-raba menghulurkan tangannya dan akhirnya disambut oleh al-Fuzail yang kemudiannya berkata:
“Wahai Amirul Mu’minin, betapa lembut dan halusnya tangan tuanku ini semoga tangan ini terhindar daripada api neraka!”
Setelah berkata demikian al-Fuzail lantas berdiri dan berdoa untuk keselamatan Amirul Mu’minin. Harun ar-Rasyid merasa hatinya sangat tersentuh dan tidak dapat menahan tangisannya.
“Katakanlah kepadaku sesuatu dari mulutmu,” pinta Harun ar-Rasyid.
“Dengarlah Amirul Mu’minin”, al-Fuzail memulakan kata-katanya.
“Sebelum ini, bapa saudara Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wasallam pernah meminta kepada baginda: “Jadikanlah aku pemimpin bagi sebahagian umat manusia.” Nabi menjawab: “Wahai bapa saudaraku, untuk sesaat aku pernah mengangkatmu menjadi pemimpin dirimu sendiri.” Dengan jawapan ini yang di-maksudkan Nabi adalah: Sesaat mematuhi Allah adalah lebih baik daripada seribu tahun dipatuhi oleh umat manusia. Kemudian Nabi menambah lagi: “Kepimpinan akan menjadi sumber penyesalan pada hari kebangkitan nanti.”
“Teruskanlah wahai Fuzail”, pinta Harun ar-Rasyid.
“Ketika diangkat menjadi khalifah, Umar Abdul Aziz memanggil Salim bin Abdullah, Raja’ bin Hayat dan Muhammad bin Ka’ab. Umar berkata kepada mereka: “Hatiku sangat gelisah kerana ujian ini. Apakah yang harus kulakukan? Aku tahu bahawa kedudukan yang sangat tinggi ini adalah satu ujian walaupun orang-orang lain menganggapnya sebagai suatu kurnia. Salah seorang di antara ketiga sahabat Umar Abdul Aziz itu berkata: “Jika engkau ingin terlepas daripada hukuman Allah di akhirat nanti, pandanglah setiap Muslim yang lanjut usia sebagai ayahmu sendiri, setiap Muslim yang remaja sebagai saudaramu sendiri, setiap Muslim yang masih kanak-kanak sebagai anakmu sendiri, dan perlakukanlah mereka sebagaimana seharusnya engkau lakukan”, nasihat al-Fuzail.
“Aku takut jika wajahmu yang tampan ini akan terbakar hangus di dalam neraka. Takutilah Allah dan taatilah perintahNya. Berhati-hatilah serta bersikap secara bijaksana, kerana pada Hari Akhirat nanti Allah akan meminta apa yang dipertanggungjawabkan kepadamu sehubungan dengan setiap Muslim dan Dia akan memeriksa apakah engkau telah berlaku adil kepada setiap orang.” Tegas al-Fuzail lagi.
Mendengar kata-kata Al-Fuzail itu Harun ar-Rasyid menangis dan menggeletar ketakutan sehingga hampir jatuh pengsan. Melihat hal ini wazir Fazl menengking kepada Syeikh al-Fuzail:
“Cukup! Cukup! Apakah engkau mahu membunuh pemimpim kaum Muslimin ini?”
“Engkau diamlah Haman! Apa yang engkau tahu tentang ilmu, orang-orang seperti engkau inilah yang telah menjerumuskan diri Amirul Mu’minin ke lembah kehinaan, kemudian engkau katakan aku yang mahu membunuhnya.” Al-Fuzail mempertahankan dirinya.
Mendengar kata-kata al-Fuzail ini tangisan Harun ar-Rasyid semakin kuat sambil berkata kepada wazir Fazl: “Engkau dengar wahai Fazl! Kalau dia memanggil dirimu Haman bererti menyamakan diriku ini dengan Firaun”.
Setelah tangisannya kembali reda, Harun ar-Rashid bertanya kepada Fuzail: “Apakah engkau mempunyai hutang yang belum dijelaskan?”
“Ya, hutang kepatuhanku kepada Allah. Seandainya Dia memaksaku untuk menjelaskan hutang itu maka celakalah aku!” Jawab Fuzail.
“Apa yang aku maksudkan ialah hutangmu kepada manusia”, Harun ar-Rashid menegaskan.
“Aku bersyukur kepada Allah yang telah mengurniakan kepadaku sedemikian banyaknya rezeki sehingga tidak ada keluh kesah yang harus kusampaikan kepada hamba-hambaNya.” Ujar al-Fuzail.
Kemudian Harun ar-Rasyid menaruh sebuah bekas yang berisi seribu dinar di hadapan Fuzail sambil berkata: “Ini adalah wang halal yang diwariskan oleh ibuku.”
Tetapi Fuzail mengutuknya lagi: “Wahai Amirul Mu’minin, nasihat yang kusampaikan kepadamu ternyata sia-sia tidak ada faedahnya. Bahkan engkau telah memulakan lagi perbuatan yang salah dan mengulangi kezaliman.”
“Apakah perbuatan yang salah telah kulakukan?” Tanya Harun ar-Rasyid kehairanan.
“Aku menyerumu ke jalan keselamatan tetapi engkau menjerumuskan aku ke dalam godaan. Bukankah hal itu suatu kesalahan? Telah kukatakan kepadamu, kembalikanlah segala sesuatu yang ada padamu kepada pemiliknya yang berhak. Tetapi engkau memberikannya kepada yang bukan haknya. Aku ikhlas memberi nasihat kepadamu tanpa mengenakan sedirham pun”, tegas al-Fuzail.
Setelah berkata demikian, al-Fuzail berdiri dan melemparkan wang-wang emas itu ke tanah sambil dikutip oleh wazir Fazl.
“Benar-benar seorang manusia hebat! Sesungguhnya al-Fuzail adalah seorang raja bagi umat manusia.” Harun ar-Rasyid berkata ketika meninggalkan rumah al-Fuzail.
Sudah barang tentu sangat mudah bagi Allah Ta’ala mengampunkan kita semua apabila kita tersedar daripada kesilapan dan kealpaan, daripada kita hidup di dalam kepura-puraan dan sering melakukan kebaikan dengan harapan kita akan menerima suatu ganjaran atau pujian yang menyebabkan diri kita menjadi lalai dengan sandiwara dunia ini.
No comments:
Post a Comment